Memetik sumber dari pelbagai media hari ini, Proton Holdings Bhd (Proton) bakal mengeluarkan kereta global pertama sepenuhnya pada Februari tahun depan. Selaras dengan perancangan itu, Proton akan mengkaji semula kedudukan kesemua 108 vendornya, di mana ketika ini 20 vendor pertama sedang dinilai.
Bagi menghasilkan sebuah model kereta bertaraf global, Proton memerlukan setiap vendor menghasilkan peralatan dan komponen berkualiti tinggi dan menepati piawaian bertaraf antarabangsa. Menurut Pengarah Urusannya Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Proton tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mana-mana vendor yang gagal mencapai syarat piawaian dan standard ketat yang telah ditetapkan.
Proton kelmarin telah melancarkan persediaan untuk mengeluarkan kereta global P3-21A di kilang Proton Tanjung Malim, Perak dan pada masa yang sama turut mendedahkan casis kereta global tersebut kepada media. Menurut Syed Zainal, model yang telah dikemukakan sebagai kereta konsep di KLIMS 2010 pada tahun lepas itu telah menarik minat ramai pengeluar global OEM (Original Equipment Manufacturer) untuk dijenamakan semula.
Proton P3-21A boleh dikatakan besar kemungkinan ialah model konsep Proton Tuah (Proton Espire) yang ditayangkan kepada umum di KLIMS 2010 pada Disember tahun lepas. Bentuk casis yang ditunjukkan oleh Proton juga menyamai rekabentuk luaran Proton Tuah. Selain itu tempoh pengeluaran pertamanya pada Februari 2012 depan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, jadi tidak syak lagi model spsyhot Proton yang telah didedahkan di dalam internet sebelum ini dan dikenali sebagai Persona R ialah model P3-21A.
Proton telah pun menguji dengan ekstensif model global P3-21A di jalan raya di seluruh negara sejak awal tahun ini. Jadi mereka sudah mempunyai masa dan maklumat yang secukupnya untuk mengeluarkan kereta tersebut secara besar-besaran mulai Februari depan. Menurut sumber dalaman, model tersebut akan ditawarkan pada harga antara RM65K sehingga RM75K di pasaran tempatan.
Selain dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan piawaian spesifikasi yang ditetapkan oleh negara-negara maju di seluruh dunia, P3-21A atau Persona R dalam segmen C itu akan dilengkapi enjin CamPro bersesaran 1.8L dan 2.0L dengan sistem pengecas turbo. Proton P3-21A akan dilancarkan di pasaran global selepas enam bulan pelancarannya di pasaran tempatan.
No comments:
Post a Comment