ads by nuffnang

Join The Best Followers

Tuesday, September 6, 2011

Segmen Automotif - Honda tarik balik Civic, City, Jazz

HONDA Jazz keluaran 2005 hingga 2007 antara yang dipanggil balik untuk pemeriksaan.

Babit 40,456 unit kenderaan keluaran 2005 hingga 2008

HONDA Malaysia Sdn Bhd memanggil semula 40,456 unit kenderaannya yang dikeluarkan antara 2005 hingga 2008 bagi melaksanakan ujian dan langkah pencegahan awal.
Model yang terbabit dalam ‘Kempen Mengemas Kini Produk’ membabitkan pemeriksaan langkah pencegahan daripada isu teknikal yang tidak diingini itu ialah Civic keluaran 2006-2008, City (2006-2007) dan Jazz (2005-2007).
“Honda Malaysia ingin memohon maaf kepada semua pelanggan disebabkan perkara tidak diingini ini. Kempen ini bertujuan untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan ke atas kegagalan teknikal.

“Ini adalah panggilan awal bagi dilakukan pemeriksaan dan penggantian yang mana kami percaya dapat mengekalkan prestasi produk yang terbaik bagi pelanggan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Beliau berkata, bagi model Civic (16,537 unit), unit yang terjejas dilaporkan berkemungkinan mengalami kebocoran minyak dari hos perantara stereng kuasa, yang disebabkan aliran air panas dan cuaca yang lembap, yang boleh menimbulkan isu keselamatan pada masa depan.

Model City (20,949 unit) dan Jazz (2,970 unit) pula mungkin berdepan kegagalan pada suis utama tingkap berkuasa yang dalam keadaan tertentu akan menyebabkan sedikit litar pintas mengakibatkan bau terbakar.
Pengeluar kereta Jepun itu perlu menukar bahan getah hos perantara stereng kuasa model Civic yang terbabit untuk untuk memperbaiki ketahanan haba manakala model City dan Jazz akan digantikan dengan suis tingkap berkuasa yang baru.

“Semua alat ganti dan caj buruh kerja berkenaan akan ditanggung oleh Honda Malaysia,” kata Yoichiro.

Pemilik model berkenaan dinasihati menghantar kenderaan masing-masing kepada peniaga yang dibenarkan secepat mungkin sebaik mendapat notis berkenaan.
Maklumat lanjut, pelanggan boleh menelefon nombor bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau lawati sebarang peniaga Honda yang dibenarkan.


Jadi bagi pemilik-pemilik Honda Civic,City dan Jazz tahun 2005 hingga 2008 segeralah ke Honda Service Centre.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...