ads by nuffnang

Join The Best Followers

Thursday, June 16, 2011

Segmen Automotif - Nissan Sylphy Impul



KACUKAN model Nissan Sylphy dengan talaan terkenal Jepun, Impul memberi impak tersendiri sebagai kenderaan keluarga yang sporty dan cantik bergaya.

Kombinasi warna putih pada kenderaan ini menyerlahkan lagi imejnya dan tampak kemas serta garang ketika menyusuri di jalan raya.

Jentera keluaran Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) ini adalah sedan keluarga saiz besar mempunyai ciri-ciri yang menawan, walaupun dalam versi standard seperti yang dilancarkan sebelum ini.

Model kenderaan terdiri daripada keluarga segmen Kelas C yang bersaing bersama model popular lain seperti Honda Civic dan Toyota Altis.

Versi yang menerima suntikan daripada Impul ini memberi pilihan bagi mereka meminati kenderaan sporty dan memenuhi keperluan untuk bekerja atau tuntutan keluarga.

Aerokit penuh rekaan khas Impul yang membaluti keseluruhan badan Sylphy ini sangat bergaya dan mengubah bentuk fizikal model ini.

Tubuhnya tampak tegap dan lebih sasa apabila dipadankan dengan aerokit tulen Impul, malah rim aloi bersaiz 17 inci Impul Aura SX-10 menjadikan pemanduan lebih baik selain stabil ketika mengambil selekoh.

Gril hadapan ala perlumbaan dan tambahan spoiler belakang yang lebih tinggi dengan memberi kestabilan aerodinamik ketika meluncur laju di jalan raya.

Sistem suspensi turut ditingkatkan dengan gegelung yang rendah hampir 25 milimeter sekali gus memberi keseronokan kepada penulis ketika mengawal jentera untuk meratah selekoh.

Sistem suspensi ini lebih keras berbanding biasa, tetapi ia sangat sesuai untuk menyerap hentakan bagi kenderaan yang rendah.

Peredam bunyi ekzos Impul Blast 2 keluli melengkapkan ciri sporty keseluruhan fizikal Sylphy dan menawarkan reaksi tindak balas enjin lebih jitu serta mengeluarkan bunyi garang.

Ketika menerjah ruang kabinnya, ia turut menerima sentuhan sporty apabila kerusi dibaluti kulit hitam dan alas kaki berlogo Impul menawarkan keselesaan tambahan.

Ia menempatkan ruang yang luas, baik untuk pemandu dan penumpang di depan mahupun tempat duduk belakang.

Ruang barangan di bahagian but belakang juga cukup besar, lebih daripada mencukupi untuk membawa barangan seharian.

KEMAS...butang sistem audio dan penyaman udara.

Selain itu, konsol tengah dengan kapasiti 9.7 liter membolehkan sebuah beg tangan atau barang berharga lain disimpan daripada perhatian orang ramai.
RINGKAS...panel meter.

Papan pemuka kemas dengan padanan tombol penyaman udara dan audio disusun teliti dengan enam pembesar suara juga menjadikan Nissan Sylphy Impul ini sempurna sebagai kereta keluarga.

BERKUASA...enjin bersesaran 1,997 dengan DOHC.

Daripada segi prestasi, enjin 2.0 liter dengan teknologi Nissan Xtronik CVT (transmisi boleh ubah berterusan) tidak pernah menghampakan.

Malah, teknologi Xtronik CVT membolehkan penumpang tidak merasai langsung setiap kali pertukaran gear dilakukan dan enjin bergerak lancar.

Enjin MR20DE 1,997cc DOHC yang tersimpan bawah bonetnya ternyata menjimatkan membolehkan jentera dipacu selaju 110 kilometer sejam (km/j) dengan putaran di bawah 2,500 rpm.

Dengan 133 kuasa kuda (hp) dan tork setinggi 191 Nm, menjadi ia sebuah kenderaan sedan yang cukup bertenaga, berkuasa dan bergaya.

Sistem gantungan Sports Impul berjaya meningkatkan cengkaman dan menambah baik kawalan stereng bantuan elektrik dengan rizab keselamatan tinggi untuk dinamik pemanduan cemerlang.

SPESIFIKASI

NISSAN SYLPHY IMPUL

ENJIN
bersesaran 1,997 dengan DOHC.

KUASA MAKSIMUM
133 PS pada 5,200 rpm

TORK MAKSIMUM
191 Nm pada 4,400 rpm

TRANSMISI
Xtronik CVT

CIRI-CIRI KESELAMATAN
Beg udara, ABS dengan EBD dan BA.

HARGA
RM125,980 atas jalan termasuk insurans.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...